Klik di sini..

Saturday, March 5, 2011

IQ & EQ..


KECERDASAN EMOSI: SATU PENGENALAN
Oleh : Azromihana binti Azmi

Pengenalan

Perasaan dan emosi seperti tangisan, sedih, takut dan gelak ketawa mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan personaliti serta menggerakkan arah kehidupan seseorang manusia. Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek “emovere” yang membawa maksud “untuk keluar”. Maka untuk itu, emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang.
Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi46. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal dilihat sebagai individu manusia yang mengalami situasi yang pelbagai dan berkehendakkan reaksi bagi melahirkan emosi yang juga berbeza.




Kecerdasan intelektual (IQ) lazimnya membolehkan seseorang belajar di universiti atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang memiliki IQ yang tinggi akan sejahtera dalam hidup.




Kecerdasan intelektual (IQ) membolehkan seseorang untuk belajar di universiti dan kolej atau pun memegang jawatan profesional. Bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan yang seseorang manusia yang bijak dan pandai akan sejahtera dalam hidup. Kemahiran mengawal dan menggunakan emosi (EQ) secara bijak sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup seseorang.
Sejak Goleman47 menerbitkan bukunya yang berjudul “The Emotional Intelligence”, ramai pengkaji mula menunjukkan minat terhadap penyelidikan di bidang yang baru ini. Para pengkaji cuba memahami bagaimana kecerdasan emosi dapat bergabung tenaga dengan kecerdasan akal bagi menentukan kejayaan dan keharmonian sesebuah kehidupan manusia.
Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi, maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan intelektual yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.
Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini 48. Antara aspek kecerdasan emosi yang semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia kini adalah seperti berikut:-
  • Empati iaitu memahami orang lain secara mendalam
  • Mengungkapkan dan memahami perasaan
  • Mengendalikan amarah
  • Kemandirian iaitu berdiri dengan sendiri atau berdikari
  • Kemampuan untuk menyesuaikan diri
  • Disukai oleh orang lain
  • Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara mereka yang berada di sekeliling
  • Semangat setiakawan
  • Keramahan
  • Sikap hormat-menghormati




Kecerdasan emosi bermula sejak kecil dan dengan itu, ibu bapa memiliki peranan terpenting dalam membina kecerdasan emosi anak-anak.




Kecerdasan emosi bermula sejak kecil dan dengan itu, ibu bapa memiliki peranan terpenting dalam membina kecerdasan emosi anak-anak. Mereka harus mengajar, mendidik serta membimbing anak-anak tentang kecerdasan emosi dengan memberikan contoh teladan yang baik. Bagi membolehkan anak-anak memiliki kecerdasan emosi yang tinggi49, ibu bapa seharusnya mengajar dan menerapkan dalam diri anak-anak beberapa aspek seperti berikut:-
  • Membina hubungan persahabatan yang baik dan harmonis
  • Bekerja dalam kumpulan secara harmonis
  • Berbicara dan mendengarkan secara efektif
  • Mencapai prestasi yang lebih tinggi sesuai dengan aturan yang ada (jujur)
  • Mengatasi masalah dengan teman yang nakal
  • Berempati antara satu sama lain
  • Kemampuan untuk memecahkan atau menghilangkan masalah antara peribadi ketekunan
  • Mengatasi konflik
  • Membangkitkan rasa humor atau jenaka
  • Memotivasikan diri apabila menghadapi saat-saat yang sulit dan genting
  • Menghadapi situasi yang sulit dengan percaya kepada diri sendiri
  • Menjalin keakraban
Jika dilihat di dalam konteks pendidikan di Malaysia, penyelidikan dan kajian tentang kecerdasan emosi masih kurang dilakukan. Pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia dilaksanakan secara tidak langsung dan ia tidak dijadikan sebagai satu subjek atau perkara yang khas (Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia 1983).
Pada kebiasaannya, beberapa andaian wujud di mana kemahiran-kemahiran sedemikian diperoleh oleh para pelajar melalui kurikulum terselindung yang disampaikan oleh guru-guru secara tidak langsung. Namun, terdapat beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang dijadikan subjek utama bagi memenuhi perkembangan yang berkesan pelajar-pelajar di Malaysia.
Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian ini akan sentiasa berterusan, faktor emosi perlulah dikawal dan dijaga sentiasa. Kecerdasan emosi pelbagai etnik hendaklah sentiasa diberi penekanan dan dikawal dari kecil lagi. Begitu juga perbezaan antara gender iaitu lelaki dan perempuan.
Menurut Patricks dan Furnham50, pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam kemahiran sosial. Namun, ia berbeza dengan pertimbangan jangkaan diri atau self-estimated di mana pelajar lelaki memiliki pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan. Walau bagaimanapun, hasil kajian ini berbeza dengan yang diperoleh daripada Kyung Hee51. Pelajar perempuan mempunyai pencapaian kecerdasan emosi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dalam tiga faktor kecerdasan emosi iaitu empati, penggunaan emosi dan perhubungan sesama rakan sebaya.
Menurut Curtis52 pula, apabila emosi diajar dan ditekankan dengan pembelajaran yang berkaitan dengan kecerdasan emosi melalui kaedah rawatan, perubahan yang lebih baik dari keadaan sebelumnya berlaku dalam diri pelajar-pelajar. Perubahan berlaku walaupun pelajar-pelajar berada di dalam tiga kelas yang berbeza iaitu kelas Pengajian Sosial/English Moden, kelas Psikologi dan kelas sukarelawan pelajar pintar. Menurut Curtis lagi, kelas bimbingan diadakan dan hasilnya wujud peningkatan dalam pengurusan emosi.

Ciri-Ciri Yang Membentuk Kecerdasan Emosi

Salovey dan Mayer53 mengatakan bahawa kecerdasan emosi mengumpulkan kecerdasan interpersonal dan kecerdasan intrapersonal Gardner yang boleh dikategorikan kepada lima perkara iaitu kesedaran diri, pengurusan emosi, motivasi diri, empati dan mengendalikan hubungan.
Kesedaran diri merupakan satu pemerhatian terhadap diri dan mengakui suatu perasaan sebagai satu kejadian. Pengurusan emosi pula merupakan satu pengendalian perasaan di mana ia boleh disesuaikan, menyedari sesuatu perkara di sebalik emosi, menemui cara mengendalikan perasaan bimbang dan takut, perasaan marah dan juga sedih.
Motivasi diri pula merupakan satu penyaluran perasaan ke arah satu matlamat, mengawal emosi kendiri, melewatkan ganjaran dan menyekat dorongan. Empati pula merupakan satu perasaan atau kemampuan untuk menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Sementara mengendalikan hubungan pula adalah satu pengurusan perasaan, kecekapan dan kemahiran sosial.
Menurut Mayer dan Salovey54 pula, kecerdasan emosi adalah sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kebolehan untuk mengawasi diri sendiri dan juga orang lain serta boleh membezakan diri dengan orang lain. Ia juga menggunakan maklumat untuk membimbing ke arah satu pemikiran dan juga tindakan.
Menurut Young55, istilah kecerdasan emosi didefinisikan sebagai kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau dan membuat diskriminasi di antara emosi sendiri dan emosi orang lain, di samping memanfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan seseorang itu.
Menurut Goleman56 pula, kecerdasan emosi secara spesifiknya, terdiri daripada empat konstruk penting. Konstruk-konstruk itu adalah kawalan diri, motivasi/kesedaran diri, pengurusan emosi dan kemahiran sosial. Konstruk yang pertama adalah kawalan diri. Ia merujuk kepada kemahiran mengawal tindakan dan perasaan sebelum melakukan sesuatu perkara.




Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain.




Konstruk yang kedua pula adalah motivasi/kesedaran diri. Ia merujuk kepada usaha dan daya ketahanan seseorang untuk mencapai matlamat hidup. Konstruk yang seterusnya adalah pengurusan emosi. Pengurusan emosi merujuk kepada kemahiran menguruskan perasaan dan pembentukan konsep atau menyanjung diri. Konstruk yang terakhir adalah kemahiran sosial. Ia merujuk kepada kemahiran menjalinkan perhubungan atau persahabatan dengan orang lain seperti kemahiran komunikasi dan kemahiran berunding.
Individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan persahabatan dengan orang lain.
Sementara individu yang memiliki tahap kecerdasan emosi yang rendah pula akan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan akibatnya dan mempunyai matlamat hidup yang kurang jelas. Selain itu juga, individu tersebut kurang mahir mengurus perasaan negatif serta kurang mahir dalam menjalinkan persahabatan dengan orang lain.
Secara keseluruhannya, kecerdasan emosi menekankan tentang ciri sahsiah yang dimiliki oleh seseorang individu itu. Kemahiran sosial dan emosi adalah lebih penting dalam kejayaan hidup daripada kebolehan intelektual semata-mata.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada ujian yang tepat bagi mengukur kecerdasan emosi seperti yang dilaksanakan untuk menguji dan mengukur kecerdasan intelektual. Menurut Elaine de Beauport57, terdapat tiga belas darjah kecerdasan. Tiga belas darjah kecerdasan ini dirangkumkan kepada tiga teori susunan otak (the tribune brain theory) iaitu neokorteks, sistem limbik dan reptilian kompleks yang mempunyai darjah kecerdasan yang berbeza di antara satu sama lain.
Darjah kecerdasan mengikut susunan otak neokorteks terdiri daripada empat bahagian. Bahagian yang pertama, rasional yang merupakan kebolehan untuk melihat sebab dan akibat, proses urutan deduksi, proses membuat rumusan dan kesimpulan. Bahagian kedua adalah hubungan dan pertalian. Ia merupakan satu kebolehan melihat secara rambang, meluaskan maklumat melalui pertalian rambang secara keseluruhan dan melihat hubungan antara maklumat dan bahan. Bahagian ketiga pula, visual atau imaginal yang merupakan satu kebolehan untuk melihat secara bayangan dan penggambaran. Sementara bahagian keempat adalah intituisional yang merupakan satu kebolehan untuk mengetahui dari pengalaman secara langsung dengan tidak menggunakan sebab.
Bagi darjah kecerdasan dari susunan otak limbik pula, ia terbahagi kepada enam bahagian. Bahagian pertama adalah afeksi. Ia merupakan kebolehan seseorang individu menghayati dan mengembangkan perasaan kejiranan dengan seseorang individu, tempat, benda mahupun idea.
Bahagian kedua pula adalah motivasi. Ia merupakan satu kebolehan yang menghampiri kemahuan atau kehendak seseorang individu dan mengetahui apa yang perlu dihampiri dan apa yang mahu diusahakan atau digerakkan untuk bertindak terhadap sesuatu perkara.
Bahagian seterusnya adalah rasa hati. Ia merupakan satu kebolehan mencipta pelbagai suasana hati dan menukarkannya kepada suasana yang lain seperti suka-duka, cinta-benci, marah-sayang dan sebagainya. Bahagian keempat adalah mulut. Ia merupakan satu kebolehan menyedari dan memandu getaran yang berkaitan dengan kawasan oral iaitu kawasan mulut.
Bahagian kelima pula adalah rongga hidung yang merupakan satu kebolehan menyedari dan memandu getaran yang berkaitan dengan kawasan nasal iaitu kawasan hidung. Bahagian terakhir adalah dorongan keseksualan. Dorongan keseksualan merupakan satu kebolehan menyedari untuk menerima dan menunjukkan getaran yang boleh melahirkan tarikan.
Bagi darjah kecerdasan dari susunan otak reptillia kompleks pula, ia terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian yang pertama, asas. Bahagian ini merupakan satu kebolehan untuk melawan dan melari, meniru dan menghalang idea yang beralinan dan bertindak. Bahagian kedua pula adalah Rutin. Rutin adalah satu kebolehan mengenal, mencipta dan mengekalkan ulangan-ulangan irama (rhythm). Dan bahagian terakhir yang ada dalam susunan otak reptillia kompleks ini adalah kelaziman. Kelaziman merupakan satu kebolehan mengenal, mencipta dan mengekalkan irama yang ditimbulkan oleh seni, muzik, drama, pemikiran dan tindakan.
Apa yang telah dirumuskan semenjak tahun 1983 oleh Pengarah Penyelidikan Kognitif Universiti Harvard, Dr Howard Gardner58, terdapat tujuh jenis darjah kecerdasan. Darjah kecerdasan yang pertama adalah darjah kecerdasan linguistik. Ia merupakan satu kebolehan menggunakan bahasa, makna perkataan dan hubungan antara perkataan atau dengan kata lainnya ia merupakan satu kebolehan mempelajari pelbagai bahasa.
Darjah kecerdasan yang kedua pula adalah darjah kecerdasan spatial yang merupakan satu kebolehan mencipta benda di alam ini dan kemudiannya melahirkan semula gambaran tersebut di dalam minda.
Darjah kecerdasan yang seterusnya adalah darjah kecerdasan muzik atau irama. Darjah kecerdasan muzik atau irama ini merupakan satu kebolehan mengenalpasti irama, intonasi dan seni suara.
Darjah kecerdasan yang keempat adalah darjah kecerdasan kinestetik. Darjah kecerdasan kinestetik adalah satu kebolehan menggunakan fizikal badan dan kemudiannya mencipta semula perlakuan perasaan fizikal.
Darjah kecerdasan yang kelima pula adalah darjah kecerdasan logik matematik. Darjah kecerdasan logik-matematik adalah satu kebolehan melakukan penakulan atau mencari sebab-musabab sesuatu perkara.
Darjah kecerdasan yang keenam adalah darjah kecerdasan interpersonal. Darjah kecerdasan interpersonal merupakan satu kebolehan seseorang individu itu berinteraksi, memahami kemahuan, motivasi, perasaan, fikiran dan perlakuan seseorang yang lain.
Darjah kecerdasan yang terakhir adalah darjah kecerdasan intrapersonal. Darjah kecerdasan intrapersonal ini merupakan satu kebolehan seseorang individu itu memahami kemahuan, matlamat dan perasaan diri sendiri.
Daripada kajian yang telah dijalankan oleh Beauport dan Gardner inilah ciri-ciri penting dalam kecerdasan emosi di mana darjah kecerdasan dalam otak limbik yang disarankan oleh Beauport serta darjah kecerdasan interpersonal dan intrapersonal yang dikenalpasti oleh Gardner digabungkan.

No comments: