Klik di sini..

Tuesday, April 12, 2011

Sindrom Patah Hati Mirip Serangan Penyakit Jantung

by cherry blossom

Sindrom patah hati (broken heart syndrome) umumnya sering menyerang wanita iaitu suatu keadaan di mana otot jantung lemah buat sementara waktu dan pembuluh darah tidak dapat memberi respons secara normal.
Para penyelidik di Johns Hopkins mendapati bahawa stres emosi secara tiba-tiba boleh menyebabkan kelemahan otot jantung namun keadaan ini boleh dipulihkan. Pesakit dengan keadaan ini, dipanggil sebagai stres kardiomiopati atau dikenali sebagai sindrom “patah hati”, sering disalah tafsirkan sebagai serangan jantung.
Sindrom ini pada asalnya dikenali sebagai ‘takotsubo cardiomyopathy’,biasanya berlaku setelah seseorang mengalami peristiwa yang menyedihkan atau faktor psikologi seperti stress, contohnya kematian ahli keluarga, diagnosis perubatan yang mengejutkan, rompakan bersenjata malah juga ‘surprise party’. Namun penyebab bagi sindrom ini belum dikenalpasti.
Pasukan penyelidik mendapati bahawa beberapa orang memberi respon stres emosi secara mendadak dengan melepaskan katekolamin dalam jumlah yang besar (terutama adrenalin dan noradrenalina, juga disebut epinephrine dan norepinephrine) ke dalam aliran darah,bersama-sama dengan produk penguraiannya dan protein kecil yang dihasilkan oleh sistem saraf yang dirangsang.
Bahan kimia ini boleh menyebabkan kejang pada arteri koroner, atau mempunyai kesan toksik langsung pada otot jantung, atau menyebabkan limpahan kalsium yang mengakibatkan disfungsi sementara lalu menghasilkan gejala serupa dengan serangan jantung termasuk sakit dada, paru-paru berair, sesak nafas dan kegagalan fungsi jantung.
Untuk memahami sindrom ini, para penyelidik telah melakukan kajian yang melibatkan 12 orang perempuan dengan sindrom patah hati dalam 6 bulan terakhir, 12 orang perempuan yang tidak pernah mengalami sindrom patah hati dan empat orang perempuan yang pernah mengalami serangan jantung klasik.
Hasil dari ketiga-tiga kumpulan, para penyelidik mendapati bahawa tahap awal katekolamin pada pesakit stres kardiomiopati dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding pesakit dengan serangan jantung klasik, dan tujuh hingga 34 kali lebih tinggi berbanding normal.
Metabolit katekolamin, seperti metanephrine dan normetanephrine, juga meningkat secara mendadak seperti protein stres yang lain,iaitu neuropeptida Y, peptida natriuretik dan serotonin. Hasil keputusan ini mengesahkan bahawa sindrom itu dirangsang oleh stres. Biopsi pada otot jantung juga menunjukkan pola kecederaan konsisten dengan keadaan katekolamin yang tinggi dan bukan serangan jantung.
“Didapati perempuan yang mengalami sindrom patah hati memiliki pembuluh darah yang tidak bekerja secara optimum akibat respons dari hormon stres yang diterimanya,” Dr Amir Lerman, seorang pakar jantung dari Mayo Clinic di Rochester.
Menurut Dr Lerman pembuluh darah seharusnya melebar untuk membolehkan lebih banyak darah mengalir ke jantung. Tetapi ketika seseorang itu berada dalam keadaan stres, pembuluh darah ini menyempit lalu mengurangkan bekalan darah dalam kuantiti yang sepatutnya.
Para penyelidik mendedahkan bahawa respons pembuluh darah yang tidak normal terhadap stres boleh mencetuskan sindrom patah hati. Hasil kajian ini telah diterbitkan secara online pada 23 November 2010 dalam Journal of the American College of Cardiology.
Menurut kajian lain pula, “Setelah mengamati beberapa kes sindrom ‘patah hati’ di rumah sakit Hopkins, kebanyakan daripada mereka adalah wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an dan kami menyedari bahawa pesakit ini mempunyai ciri-ciri klinikal yang sangat berbeza daripada kes tipikal serangan jantung, dan sesuatu yang sangat berbeza sedang berlaku “, kata Ilan Wittstein, M.D. pakar jantung dan professor di  Johns Hopkins University School of Medicine and Heart Institute.
“Kes-kes ini, awalnya, sukar untuk dijelaskan kerana sebahagian besar pesakit adalah sihat dan mempunyai beberapa faktor risiko penyakit jantung.”
Ketika pertama kali dinilai, pesakit dengan Sindrom Patah Hati pada awalnya dijangka akan mengalami serangan jantung yang hebat. Namun, perubahan elektrokardiogram (EKG) mereka tidak menepati serangan jantung, dan ujian enzim jantung yang seharusnya mengesahkan serangan jantung didapati tidak meningkat secara signifikan.
Sebagai contoh, pemeriksaan angiogram menunjukkan tiada penyumbatan di arteri yang membekalkan darah ke jantung. Ujian darah juga gagal untuk mendedahkan beberapa tanda-tanda khas dari serangan jantung, seperti peningkatan kadar enzim jantung yang dilepaskan ke dalam aliran darah dari otot jantung yang rosak.
Magnetic Resonance Imaging (MRI) scan menunjukkan bahawa tiada pesakit sindrom patah hati menderita kerosakan otot jantung kekal. Apa yang mengejutkan, pasukan penyelidik medapati bahawa tahap pemulihan adalah jauh lebih cepat dari biasa. Pesakit yang tertekan menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan pada jantung mereka dengan kemampuan untuk mengepam secara normal dalam beberapa hari dan pulih sepenuhnya dalam masa dua minggu.
Sebaliknya, pemulihan selepas serangan jantung boleh mengambil masa selama beberapa minggu atau bulan dan, seringkali kerosakan otot jantung adalah kekal. Kebanyakan pesakit yang ditemui mempunyai kelemahan otot jantung jenis khas (atau kardiomiopati), dimana apeks jantung dari ventrikel kiri mereka membengkak seperti belon.
Umumnya tiada langkah-langkah pencegahan dalam menangani sindrom patah hati. Rawatan yang diberikan adalah mirip dengan serangan jantung sehingga doktor mendapatkan diagnosis yang tepat. Sebahagian besar pesakit akan kekal di hospital sehingga sembuh.
Sehingga kini belum ada terapi yang boleh mencegah daripada terjadinya sindrom patah hati, tetapi apa yang penting adalah seseorang itu harus menguruskan stres dalam kehidupan seharian dengan baik untuk mengurangkan potensi hormon stress daripada merosakkan jantung.

Sunday, April 3, 2011

Mencari pasangan hidup..

Oh anakku, sesungguhnya dalam hidup ini, perlu membuat keputusan-keputusan penting yang akhirnya menentukan masa depan hidup kita. Sukarnya untuk membuat keputusan ini dapat dilihat dengan seruan supaya dilakukan sembahyang istikharah.
Maka antara keputusan dalam hidup yang amat penting ialah memilih pasangan sepanjang hayat.
Dalam hal ini, wahai anakku, Tuhan telah menganugerahkan kepada kita kebijaksanaan dalam memilih pasangan hidup. Berjuta-juta tahun manusia dan segala haiwan sepanjang proses evolusi, kebanyakannya berjaya memilih pasangan hidup yang sesuai.
Sebab itulah, terutama manusia menjadi spesies yang berjaya di muka bumi. Sememangnya banyak perkahwinan yang gagal. Tetapi pada keseluruhannya, perkahwinan manusia di seluruh dunia adalah berjaya. Sebab itu, manusia berkembang biak dengan institusi keluarga terus dapat bertahan berjuta-juta tahun.
Jadi percayalah kepada kata hati terhadap siapa yang hendak dipilih sebagai pasangan hidup.
Maka syarat pertama bagimu untuk memilih bakal isteri ialah dia hendaklah benar-benar yang kamu cinta, tidak ada keraguan dan berbelah bahagi.
Jika ada setitik keraguan, tangguhlah dahulu. Ini merupakan pilihan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Kalau silap memilih, tidak ada jalan penyesalan. Untuk bercerai dan berganti baru adalah jauh lebih susah daripada kahwin.
Apakah kriteria pertama yang harus menjadi pilihan? Banyak faktor yang perlu diambil kira. Calon itu wajar beragama, daripada keturunan baik-baik, berpendidikan, dalam zaman ini pula, lebih baik pilih wanita yang bekerjaya bagus di samping faktor kesihatan serta kampung di mana agar masa berhari raya lebih mudah untuk balik kampung bersama.
Ya anakku, semua faktor itu perlu diambil kira. Tetapi ayah tahu, mana-mana lelaki normal, yang cukup hormon, tidak kurang dan tidak lebih, serta tidak songsang, pasti akan mahukan wanita cantik.
Memang dari dahulu pun orang tahu, rupa paras yang cantik merupakan kriteria pertama bagi pilihan lelaki.
Sebab itulah rupa paras wanita manusia semakin lama semakin cantik. Bukanlah kerana semakin banyak ciptaan kosmetik baru tetapi kecenderungan lelaki untuk memilih wanita cantik, maka pastinya baka-baka yang diturunkan akan akhirnya lebih banyak cantik daripada kurang cantik.
Untungnya bagi wanita pula cantik itu subjektif dan relatif bagi seseorang lelaki. Ada perempuan yang dipandang cantik oleh lelaki tertentu, tidak pula menarik bagi lelaki lain.
Dari kecantikan itu, barulah jatuh hati. Maka wahai anakku, pilihlah perempuan yang dirasakan tanpa was-was sebagai amat cantik bagi dirinya.
Memanglah kecantikan akan pudar akhirnya. Tetapi hendak sampai kepada kepudaran itu memakan bertahun juga. Bila akhirnya pudar nanti, apa yang suami ingat ketika sudah berusia kelak adalah wajah cantik isterinya ketika dia muda dahulu. Ingatan itulah yang penting untuk dibawa ke hari tua.
Jadi pilihlah perempuan yang benar-benar berkenan di hati kerana kecantikannya sebab setiap hari kamu akan menatapnya, baik siang ataupun malam. Pagi dan petang iaitu sepanjang hayatmu.
Jadi apakah dia kecantikan? Maka orang kata kecantikan bukan saja rupa paras tetapi yang lebih penting ialah perangai. Itu kata masyarakat.
Tetapi dalam hal ini, ayah mahu kamu benar-benar faham mata pelajaran biologi. Apakah fungsi kecantikan? Asasnya ialah supaya manusia suka untuk berkelamin. Seterusnya berkeluarga dan membiak. Maka rahsianya ialah pilih calon isteri yang kamu senang kerana seksnya.
– MAT COMOT